Halaman

Khamis, 3 November 2011

Persediaan Terakhir Menjelang Peperiksaan


PERSEDIAAN TERAKHIR MENJELANG PEPERIKSAAN

“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan”
“Nak seribu daya tak nak seribu dalih”
 (Pepatah Melayu)

Selagi ada ruang dan peluang kita sebagai seorang pelajar mesti mengambil dan menggunakan kesempatan ini. Kita jangan sekali-kali berserah kepada takdir semata-mata tanpa didahului dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Justeru itu pada saat-saat akhir cubalah mempraktikan perkara-perkara berikut:

Hindari Kerisauan.
Kerisauan yang melampau boleh memberi tekanan terhadap mental dan emosi. Kesihatan diri juga boleh terganggu. Oleh itu pelajar perlu bertenang dalam menghadapi sesuatu peperiksaan. Pun begitu kerisauan yang sedikit boleh menjadi suatu tenaga yang positif kerana membantu pelajar supaya tidak terlalu leka sebelum mengambil peperiksaan.

Solat Hajat Dan Berdoa.
“Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.” (Surah al-Baqarah:153)
Oleh itu lakukan solat hajat dan berdoa banyak-banyak terutamanya malam menjelang peperiksaan. Sesungguh orang yang tidak berdoa dan memohon kepada Allah adalah orang yang sombong kepada-Nya.

Tidur Secukupnya.
Tidurlah sekitar pukul 11.00 malam dan bangun pula ada pukul 5.00 pagi. Tidur yang tidak mencukupi akan mengganggu penumpuan pelajar ketika hendak menjawab soalan peperiksaan.

Solat Subuh Dan Berdoa.
Pastikan pelajar solat subuh dan berdoa agar pelajar diberikan ketenangan dan berjaya dalam peperiksaan.

Pastikan Urusan Bilik Air Selesai.
Jika urusan ini tidak selesai dikhuatiri akan mengganggu kelancaran perjalanan peperiksaan pelajar.

Lupakan Sebarang Masalah.
Tenangkan fikiran dan cuba lupakan semua masalah yang tidak berkaitan. Elakkan diri daripada menghampiri atau memikirkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan masalah.

Ambil Sarapan Pagi.
Sebiji telur dan dua keping roti sangat sesuai dimakan sebagai sarapan pagi sebelum menghadai peperiksaan. Ini kerana ia mampu meningkatkan daya ingatan pelajar.

Penampilan Diri Yang Kemas.
Aspek ini penting kerana jika berpakaian yang tidak sesuai akan timbul masalah seperti pelanggaran peraturan dalam peperiksaan dan pelajar mungkin dihalang daripada menduduki peperiksaan tersebut.

Datang Awal Ke Dewan Peperiksaan.
Pastikan kenderaan yang pelajar gunakan untuk ke dewan peperiksaan adalah sempurna dan selamat digunakan.

Semak Semua Peralatan Dan Dokumen Penting.
Pastikan semua peralatan dan dokumen penting iaitu alat tulis, kad pengenalan diri, slip peperiksaan dan lain-lain yang berkaitan telah tersedia di tempat yang terbuka; umpamanya di atas meja tulis.

Jangan Membawa Barang Terlarang.
Nota, buku, bahan bercetak dan sebagainya jangan sekali-kali dibawa masuk ke dewan peperiksaan walau apa tujuan sekalipun. Jika pelajar tertangkap, keputusan peperiksaan pelajar akan ditahan.

Masuk Dengan Tenang.
Ketika memasuki dewan peperiksaan, mulakan dengan kaki kanan dan bacaan “bismillah.” Duduklah di tempat yang telah disediakan untuk pelajar. Bacalah doa kepada Allah.

Dengar Dan Ikut Arahan Pengawas Peperiksaan.
Akur terhadap semua arahan yang dikeluarkan.

Isikan Maklumat Yang Berkaitan.
Di meja calon beberapa maklumat perlu diisi setelah diarah oleh pengawas peperiksaan. Oleh itu tulislah dengan jelas dan terang.

Yakinkan Diri.

Sematkan bahawa pelajar akan berjaya. Kenangkan kembali segala kejayaan pelajar sebelum ini dan tidak ada sebab pelajar tidak berjaya pada kali ini.

INGATLAH!!!!
PEPERIKSAAN BUKAN SUATU ANCAMAN
tetapi
PEPERIKSAAN ADALAH KAYU PENGUKUR KEPADA PENCAPAIAN DAN KEMAJUAN DIRI ANDA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan