Halaman

Rabu, 2 November 2011

sejarah perkembangan sekolah hingga sekarang



SEJARAH PERKEMBANGAN SEKOLAH  HINGGA SEKARANG

            Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering (SMKSN) terletak kira-kira 2 kilometer dari Bandar Jerteh, berhampiran jalan utama menuju Kuala Terengganu dan Kota Bharu.SMKSN terletak dalam perkampungan Melayu yang dikenali dengan nama Kampung Pulau Rimau.Dengan keluasan 9,9788 hektar, SMKSN mempunyai 47 buah kelas dengan keramaian pelajar seramai 1546 orang terdiri dari pelajar tingkatan 1 hingga 6 atas.Pelajar SMKSN terdiri daripada anak-anak penduduk sekitar dan kampung –kampung yang berdekatan.Keistimewaan sekolah ini ialah adanya kelas Pendidikan Khas(KKBP) , dua buah kelas primier ,beberapa kelas Bestari(KRK) selain kelas-kelas biasa.

            Cadangan untuk membina sebuah sekolah Melayu di sekitar Bandar Jerteh mula ditimbulkan pada tahun 1966.Beberapa pertubuhan masyarakat dan politik,khususnya UMNO cawangan Jerteh telah mendesak kerajaan untuk menjayakan tujuan tersebut.Akhirnya di atas sebidang tanah yang terletak di Kampung Pulau Rimau , Gong Nering, Jerteh, Besut, Terengganu dikenalpasti untuk mendirikan tapak sekolah.

            Bangunan sekolah mula dibina pada awal tahun 1968 dan siap pada akhir tahun itu juga.Pada awal tahun 1969 , bermulalah era Sekolah Melayu ke 3 di Besut  yang dikenali pada asalnya sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Jerteh.Nama tersebut kemudiannya ditukar oleh pihak pentadbiran kepada nama Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering.Nama tersebut diambil dari nama kampung Gong Nering iaitu kampung  yang terletak bersebelahan dengan sekolah ini.

            Pada awal penubuhannya (1969), sekolah ini mempunyai sebuah bangunan kekal dua tingkat dengan 10 buah bilik darjah, sebuah makmal sains, stor,pejabat,bilik guru besar,tandas murid dan tandas guru.Sebuah kantin juga dibina berhampiran dengan bangunan ini.Keramaian pelajar  ketika itu ialah 180 orang yang berada dalam 5 kelas tingkatan 1.

            Kini, setelah berusia 38 tahun  sekolah ini mempunyai 20 buah bangunan sekolah merangkumi 56 bilik darjah, 9 buah makmal sains,dewan besar,dewan terbuka,perpustakaan,bilik gerakan,bilik mesyuarat utama,bilik ERT,bilik Kemahiran Hidup, pejabat am,bilik pengetua,bilik penolong-penolong kanan,bilik guru –guru kanan mata pelajaran, 3 buah makmal komputer,bilik kaunseling,surau (gotong –royong),mini gimnasium,asrama(putera dan puteri), 3 unit rumah guru dan lain-lain kemudahan sukan dan padang permainan.

            Kecemerlangan SMKSN bermula sejak tahun 1991.Dalam bidang Kurikulum , SMKSN pernah mencatat kelulusan SPM sebanyak 82% dan mengekalkan kecemerlangan STPM antara 98% hingga 100% dan rekod paling baik SMKSN ialah pada tahun 1998 di mana seorang pelajar biasa dari aliran sastera telah mendapat 4A 1B dalam STPM, satu pencapaian yang cemerlang bagi pelajar biasa yang gagal diterima masuk ke IPT selepas SPM.

            Dalam bidang ko-kurikulum, SMKSN telah melahirkan beberapa orang olahragawan dan olahragawati ke peringkat MSSM. Pencapaian terbaik setakat ini apabila seorang pelajar sekolah ini telah dipilih untuk mewakili Negara dalam perlawanan hoki peringkat Asia.Sekolah ini juga banyak memenangi pertandingan-pertandingan seperti pidato,kuiz,esei,tilawah Al-Quran, hafazan dan yang paling tinggi ialah apabila sekolah ini menjuarai pertandingan Pantun ‘Piala Sireh Pulang Ke Gagang’ pada tahun 1997 dan 1999.

            Anugerah-anugerah lain yang pernah diterima oleh SMKSN ialah Johan anugerah ‘Q’ Pengurusan Akademik JPNT(1994), Johan Piala PIBG Cemerlang(1994), Johan Peningkatan Alam Sekitar(1995), Johan Pertandingan Kantin Sekolah(1996), Naib Johan Pertandingan 3K(1996) dan Hadiah Ketiga Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan Malaysia (1997).

            Dengan sejarah yang telah sedia tercipta , SMKSN akan menjadi sebuah sekolah bestari yang ternama di satu hari nanti.Moga-moga dengan komitmen para guru, staf sokongan,pelajar serta ibu bapa , SMKSN akan maju setanding dengan sekolah-sekolah ternama yang lain.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan